Page ini telah dilawat sebanyak:

Berita angkasawan Malaysia dilapor media Singapura, China

SINGAPURA 11 Okt. - Pelancaran bersejarah angkasawan pertama Malaysia ke angkasa semalam bukan sahaja menjadi tajuk berita utama media Malaysia, tetapi juga media di sini.

Selain akhbar harian, pelancaran itu turut mendapat perhatian televisyen dan radio.

Angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, berlepas ke angkasa dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan semalam.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, doktor bedah ortopedik berasal dari Seremban, berlepas pada pukul 9.21 malam waktu Malaysia dengan roket Rusia Soyuz, yang dipasang dengan bendera Malaysia, Rusia dan Amerika Syarikat.

Beliau berlepas bersama-sama Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan Yuri Malenchenko dari Rusia.

Akhbar The Straits Times pada muka surat tiga memaparkan gambar pelancaran roket dari Baikonur Cosmodrome itu.

Di bawah gambar itu adalah laporan bertajuk “Blast Off: Malaysians cheer as astronaut Muszaphar flies into space station (Pelancaran: Rakyat Malaysia gembira angkasawan Muszaphar berlepas ke stesen angkasa)"

Ia melaporkan bahawa rakyat Malaysia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyaksikan secara langsung pelancaran itu.

Business Times pula menyiarkan gambar Reuters dengan Dr Sheikh Muszaphar Shukor memakai pakaian angkasanya di dalam kapal angkasa, dengan kapsyen “Malaysia Boleh in Space (Malaysia Boleh di Angkasa)”.

Ia juga menyatakan Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi rakyat Malaysia pertama ke angkasa.

Satu-satunya akhbar berbahasa Melayu di Singapura, Berita Harian, menyiarkan berita pada muka surat lima dengan tajuk “Angkasawan pertama Malaysia berlepas”.

Channel NewsAsia (CNA) yang turut menyiarkan berita pelancaran itu, menyifatkan angkasawan pertama Malaysia itu sebagai “membawa bersamanya harapan dan impian setiap rakyat Malaysia"

CNA juga melaporkan berkenaan misi Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa, seperti menjalankan eksperimen mengenai mirob penyakit tropika dan protein untuk potensi vaksin HIV.

“Beliau juga akan mengkaji kesan mikro graviti dan radiasi angkasa berkenaan sel kanser dan gen manusia,” katanya.

Stesen berita itu juga menemu bual rakan perniagaan angkasawan itu, Chef Ismail Ahmad.

“Apabila beliau dipilih, saya fikir dia boleh buat penyelidikan itu. Beliau sangat kreatif dan berani. Begitu juga sewaktu melakukan terjunan.

“Beliau beritahu kami akan melakukan terjunan sedalam 15 meter tetapi beliau akan buat 25 meter. Beliau memang jenis macam tu,” kata Ismail yang menjadi pemilik bersama sebuah restoran dengan Dr Sheikh Muszaphar.

Sementara itu, pelancaran itu turut menjadi tajuk akhbar di China dengan beberapa akhbar tempatan dan laman web popular melaporkan peristiwa bersejarah itu berserta gambar Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengenakan pakaian angkasawan bersama-sama dua lagi angkasawan.

Agensi berita China, Xinhua dan dua laman web iaitu China News Service dan Sina.com website turut menyiarkan berita itu.

Beijing News dan Beijing Times, akhbar harian utama di Beijing turut menyiarkan tajuk berita serupa mengenai angkasawan pertama Malaysia ke angkasa, manakala Beijing Times dan Beijing Youth Daily memaparkan gambar Dr Sheikh Muszaphar dan Whitson.

Akhbar berbahasa Inggeris, China Daily menyiarkan gambar doktor perubatan itu menunjukkan Jalur Gemilang pada lengan kiri pakaiannya sebelum memasuki kapsul angkasa yang akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa.

“Malaysian blasts off to history” (Pelancaran bersejarah Malaysia), lapor Shanghai Daily.

Di ibu kota kuno Xian, Xian Wanbao (berita petang Xian), dalam laman webnya melaporkan bahawa “Malaysia gives birth to first astronaut taking Russian flight into space” (Malaysia melahirkan angkasawan pertama dan berlepas dengan kapal angkasa Rusia ke angkasa) dan memaparkan kisah pemilihan Dr Sheikh Muszaphar daripada beribu calon.

“Sebelum ini, saya langsung tidak tahu mengenainya. Selepas saya melihat berita mengenainya, saya berasa sangat teruja bagi Malaysia,” kata Hu Jing, pelajar tahun akhir universiti yang membaca akhbar Beijing News.

Perjalanan ke angkasa menarik minat di China yang telah menghantar tiga angkasawan ke angkasa dan merancang melancarkan penyiasatan ke bulan menjelang akhir tahun. - Bernama

0 comments

Post a Comment

1. Sila komen secara berhemah.
2. Sila tinggalkan nama berserta alamat url anda.
3. Komen yang mempunyai unsur-unsur spam akan dipadam.
4. Digalakkan anda meninggalkan url dan nama berbanding login blogger.

fly.co.uk cheap flights from the uk to the whole world
Flights to Colombo Cologne Flights
Cheap Flights to Frankfurt Cheap Flight